· info · 2 min read
Rawatan Resdung
Resdung atau sinusitis adalah keadaan yang melibatkan inflamasi pada lapisan dalaman rongga hidung dan sinus paranasal. Ini boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti jangkitan virus atau bakteria, alergi, atau faktor-faktor lain yang menyebabkan penyempitan saluran hidung.
Gejala resdung termasuk hidung tersumbat, ingusan, sakit kepala, rasa sakit atau tekanan di kawasan muka, dan batuk. Resdung boleh menjadi kronik jika dibiarkan tanpa sebarang rawatan. Berikut adalah rawatan yang boleh anda ambil samada di rumah, klinik atau farmasi :-
Rawatan Tradisional
Rawatan Wap Air Panas
Rawatan wap air atau air panas sering digunakan sebagai kaedah yang memberi lega bagi mereka yang mengalami resdung. Cara ini dikenali sebagai terapi inhalasi atau nebulisasi. Berikut adalah cara-cara untuk melakukan rawatan wap air bagi merawat resdung:
Cara Rawatan
- Panaskan air sehingga mendidih.
- Pindahkan air yang mendidih ke dalam mangkuk besar.
- Letakkan muka anda di atas mangkuk dan tutup kepala dengan kain untuk mengekalkan wap.
- Tarik nafas perlahan-lahan melalui hidung dan tahan sekejap sebelum perlahan-lahan menghembuskan udara melalui mulut.
- Ulangi proses ini selama beberapa minit.
Rawatan Kain Panas (Hot Towel)
Rawatan dengan kain panas untuk resdung adalah satu kaedah yang sering digunakan untuk memberi lega kepada mereka yang mengalami masalah resdung. Berikut adalah cara-cara melaksanakan rawatan dengan kain panas untuk merawat resdung:
Cara Rawatan
- Rendam kain bersih dalam air panas. Pastikan kainnya tidak terlalu panas untuk mengelakkan kecederaan.
- Perah kain sehingga tidak terlalu basah tetapi masih mempunyai kelembapan yang mencukupi.
- Letakkan kain yang telah dilipat di atas muka anda, menutupi hidung dan mulut. Pastikan anda masih boleh bernafas dengan selesa.
- Anda boleh mengulangi rawatan ini beberapa kali sehari mengikut keperluan dan keselesaan anda.
Rawatan Menggunakan Ubat-Ubatan
Rawatan resdung menggunakan ubat-ubatan melibatkan penggunaan pelbagai jenis ubat untuk mengurangkan gejala dan merawat punca-punca yang mendasarinya. Ubat-ubat ini boleh di beli di farmasi. Berikut adalah beberapa kategori ubat yang biasanya digunakan untuk merawat resdung:
Antihistamin:
- Contoh Ubat: Loratadine, Cetirizine, Levocetrizine.
- Bertujuan untuk mengurangkan tindak balas alergi dengan menghalang hidung berair. Biasanya di ambil 1 biji sehari
Nasal Spray:
- Contoh Ubat: Contoh: Mometasone(Nasonex), Oxy-Nase.
- Nasal Spray adalah ubat-ubatan jenis steroid yang digunakan untuk mengurangkan inflamasi dalam rongga hidung dan membantu mengatasi gejala seperti kesesakan hidung, bersin, dan hidung berair. Nasal Spray ini sangat berkesan dalam mengurangkan resdung bertindak dalam masa 12-24 jam selepas digunakan (bergantung kepada individu). Untuk Dos penggunaan perlu merujuk kepada jenis ubat yang digunakan atau rujukan doktor / farmasi.
Rawatan Air Saline:
Larutan saline yang di masukkan ke dalam hidung untuk membersihkan lendir, melembutkan saluran pernafasan, dan membantu melegakan kesesakan hidung.
Jika resdung masih berlarutan, anda di nasihatkan berjumpa doktor, kemungkinan ubat yang digunakan tidak sesuai atau anda mempunyai masalah lain yang menyebabkan sinus atau resdung